KUANTAN – Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) menyediakan 1,224 tangki statik sebagai salah satu inisiatif menampung permintaan bekalan air yang meningkat terutama dalam tempoh perayaan dari 9 hingga 14 April ini.
Menerusi kenyatan hari ini pihaknya memaklumkan PAIP telah mengatur gerak tangki statik dan ditempatkan di lokasi-lokasi kritikal di seluruh Pahang.
“Pada masa yang sama, PAIP turut memantau tahap kualiti air terawat yang dibekalkan melalui tangki statik agar berada pada tahap yang terbaik dan selamat untuk digunakan.
“Selain itu warga PAIP juga memeriksa tahap kualiti air yang dibekalkan menerusi tangki statik di mana prosedur tersebut dilaksana di seluruh daerah di sini,” katanya.
Justeru para pengguna diminta menggunakan air secara berhemah dan sebarang maklumat berkenaan gangguan bekalan boleh didapati di saluran telegram (https://t.me/PAIPBerhad).
Pengguna juga boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan (PULAPEL) yang beroperasi 16 jam sehari bermula jam 7.00 pagi sehingga 11.00 malam di talian 09-573 9999. – MalaysiaGazette