Pathmanathan.

GEORGE TOWN – Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menggerakkan 13 lori tangki air sebagai langkah bersiap siaga untuk mengelakkan gangguan bekalan air tidak berjadual ketika Aidilfitri.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP K. Pathmanathan berkata, ia susulan pihaknya menjangkakan penggunaan air ketika tempoh musim balik kampung dan Aidilfitri bermula Ahad lalu hingga 14 April ini mungkin bersamaan atau melebihi 927 juta liter sehari (JLH).

“Kita menggerakkan 13 lori tangki termasuk tiga lori Jumbo bersama 47 tangki statik bermula Ahad lalu sehingga 14 April ini.

“Ia membabitkan kawasan Seberang Perai Selatan (SPS) serta beberapa kejiranan kawasan tanah tinggi dan hujung paip agihan (EoL) di Relau dan Bukit Belah, daerah Barat Daya.

“Jika perlu, penghantarannya akan diperluas dengan lebih banyak lori tangki atau melanjutkan tempoh untuk menangani permintaan air,” katanya dalam kenyataan.

Tambah beliau, status bekalan air di negeri ini terkawal buat masa ini, namun penduduk diminta menggunakan air dengan berhemat ketika sambutan hari raya kerana Pulau Pinang masih mengalami cuaca panas dan kering yang menyebabkan simpanan air empangan berkurangan.

“Seboleh-bolehnya PBAPP mahu mengelak berlakunya gangguan bekalan air. Kita juga ingin memohon kerjasama daripada pengguna-pengguna supaya menggunakan air dengan berhemat ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast