Home Seni Hidup Sultan Pahang tinjau kawasan kebakaran hutan

Sultan Pahang tinjau kawasan kebakaran hutan

KUANTAN – Sultan berjiwa rakyat dan sentiasa ada ketika susah senang bersama rakyat, itulah Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Baginda bercemar duli berangkat meninjau proses pemadaman api kebakaran hutan sejak beberapa hari lalu dan medapatkan  taklimat Pos Kawalan Bomba di Inderapura Jaya di sini semalam.

Al-Sultan Abdullah turut mengurniakan kurma kepada petugas sejurus azan Magrib bergema dan berbuka puasa bersama mereka.

Baginda turut menitahkan beberapa tindakan yang perlu diambil bagi menangani kebakaran hutan dengan segera seperti kaedah water bombing menggunakan helikopter.

Sejurus berbuka puasa baginda sempat menunaikan solat Maghrib bersama para petugas.

Dalam video berdurasi dua minit 18 saat itu baginda turut diiringi Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Pahang, Datuk Ir. Ts. Dr. Wan Mohammad Zaidi Wan Isa ketika dihubungi berkata, titah saranan baginda untuk penggunaan helikopter bagi operasi bom air akan dilakukan.

Ia bagi menyegerakan pemadaman kebakaran hutan di tiga lokasi utama membabitkan Rompin, Gebeng dan kawasan Inderapura Jaya.

“Sehingga kini, lebih 700 kawasan kebakaran hutan direkodkan dan untuk hari Selasa  seramai 78 petugas digerakkan membantu operasi.

“Kita sedang usahakan bagi mendapatkan helikopter dan membuat tinjauan bagi mencari jalan masuk,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Tambahnya penambahan petugas daripada pasukan Angkatan Tentera Diraja Malaysia dan Angkatan Petahanan Awam Malaysia (APM) membantu operasi pemadaman tersebut. – MalaysiaGazette