Prof Datuk Dr. Asmadi Mohamed Naim

KUANTAN – Tiga lokasi mencerap hilal di negeri ini tidak menampakkan anak bulan ketika proses rukyah dilakukan hari ini.

Mufti Pahang, Prof Datuk Dr. Asmadi Mohamed Naim berkata, perkara tersebut disebabkan beberapa faktor semula jadi walaupun cuaca yang baik pada permulaan  proses rukyah dijalankan.

“Secara khususnya kita di Pahang mencerap di tiga lokasi di Menara 188, di Nenasi di Pekan dan di Brinchang, Cameron Higlands.

“Jadi walaupun cuaca terang pada permulaan tetapi ketika pencerapan ia gelap, jadi di Menara 188 tidak kelihatan anak bulan.

“Apa yang kami dapati (anak bulan) juga di Nenasi dan di Brincang juga tidak kelihatan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Jelas Dr. Asmadi, faktor berkenaan disebabkan oleh awan yang mendung serta hujan, termasuk faktor berjerebu oleh asap tebal di kawasan negeri ini.

Walau bagaimanapun katanya, hasil cerapan bergantung kepada keputusan di semua lokasi dan pengumuman yang dibuat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.

Timbalan Mufti Pahang, Datuk Baldlishah Alauddin meyertai aktiviti mencerap anak bulan di Menara 188 di Kuantan hari ini.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Rukyah Hilal Syawal 1445H di Menara 188 Di Kuantan hari ini bersama warga Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM).

Tambah Dr. Asmadi, lokasi Menara 188 merupakan lokasi baharu digunakan untuk mencerap di negeri ini menggantikan lokasi di Stesen Pemancar Bukit Pelindung bermula tahun ini.

Dr. Ahmad Irfan Ikmal

Sementara itu, Pensyarah Kanan Universiti Malayia Pahang Sultan Ahmad (UMPSA), Dr Ahmad Irfan Ikmal turut menyampaikan taklimat cerapan hilal kepada semua pihak yang terlibat di Menara 188.

Beliau sebagai Ahli Jawatankuasa Falak Negeri Pahang menerangkan proses mencerap melihat anak bulan bergantung kepada kedudukan altitud bulan dan jarak lengkung termasuk menghimpunkan hasil cerapan di keseluruhan 29 lokasi mencerap dalam negara.

“Dalam fatwa pada digazetkan tahun 1977, sekiranya semua lokasi berada dalam keadaan awal tebal, maka pada waktu tersebut hisab waktu falak boleh ditentukan seperti dalam hasil muzakarah 1977 boleh digunakan.

“Berdasarkan data yang diperoleh daripada JUPEM, kriteria dilepasi dan proses mecerap dimulakan pada waktu sekitar 7.13 malam sehingga jam 7.40 malam serta menunggu hasil rukyah di semua lokasi,” katanya. – MalaysiaGazette