KUALA LUMPUR – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia)
menasihati orang ramai agar sentiasa menitikberatkan soal keselamatan semasa berada di laut termasuk peka dengan amaran hujan lebat, angin kencang serta laut bergelora yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia.

Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin berkata, langkah ini perlu lebih-lebih lagi seluruh negara bakal meraikan Hari Raya Aidilfitri dan bercuti panjang dalam fasa peralihan monsun yang bermula pada 29 Mac lalu dan dijangka berterusan sehingga Mei nanti.

“Maritim Malaysia mengingatkan kepada mereka yang akan menggunakan
perkhidmatan bot atau feri bagi tujuan balik kampung atau melancong ke pulau-pulau
supaya memastikan jaket keselamatan disediakan oleh pengendali bot atau feri yang
akan dinaiki.

“Pengendali khidmat bot dan feri juga hendaklah memastikan tiada lebihan penumpang daripada kapasiti yang ditetapkan bagi mengelak daripada sebarang insiden berlaku ketika berada di laut,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Tambah beliau, berdasarkan rekod tahun 2023, sebanyak 1,535 orang terlibat insiden di laut seluruh negara.

Daripada jumlah berkenaan 1,401 berjaya diselamatkan manakala 90 mangsa lain dilaporkan meninggal dunia dan 44 mangsa lagi masih diklasifikasikan hilang.

“Manakala bermula 1 Januari hingga Mac tahun ini, sebanyak 107 mangsa berjaya
diselamatkan sementara tujuh kematian telah direkodkan dan empat mangsa dikhuatiri masih hilang sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan mangsa insiden di laut adalah seramai 118 orang.

“Bagi mengurangkan kadar kemalangan di laut, Maritim Malaysia akan
menggiatkan Preventive SAR (Pencegahan CARILAMAT) dengan membuat rondaan
dan pemantauan di jeti-jeti sekitar pantai serta di perairan seluruh negara bagi
memberi peringatan serta kesedaran kepada komuniti tentang kepentingan menjaga
keselamatan ketika berada di laut.

Maritim Malaysia turut  merakamkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh rakyat Malaysia terutamanya umat Islam dengan pesanan sambutlah perayaan dengan  penuh gembira dan bukan tangisan kehilangan ahli keluarga akibat
kemalangan di laut,” ujar beliau lagi.- MalaysiaGazette