KUALA LUMPUR – Penderitaan rakyat Palestin berhadapan dengan pembunuhan beramai-ramai oleh rejim Israel lebih 150 hari tidak harus dilupakan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta rakyat Malaysia yang gembira menyambut Aidilfitri agar menitipkan doa untuk rakyat Palestin.
“Dalam menyambut hari kemenangan kita dalam kegembiraan, mari kita titipkan doa buat saudara kita di Palestin.
“Semoga Allah sentiasa melindungi mereka dan kurniakan mereka kekuatan dalam menghadapi ujian ini,” kata Ahmad Zahid dalam perkongsian di media sosial.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut menyeru rakyat supaya memanfaatkan Aidilfitri sebagai platform bagi mengukuhkan perpaduan dan membentuk kebersamaan tanpa mengira agama dan kaum.
“Sudah semestinya amalan kunjung-mengunjung, bermaaf-maafan dan mendoakan antara satu sama lain serta merapatkan ukhuwah menjadi agenda utama setiap kali tibanya Aidilfitri,” kata beliau.
Jumlah kematian di Gaza akibat serangan tanpa henti Israel telah menyebabkan lebih 33,000 rakyat Palestin maut dengan lebih 8,000 masih hilang selain mereka terpaksa menjadi pelarian selepas kediaman mereka dibom oleh rejim zionis.- MalaysiaGazette