KUALA LUMPUR – Semua urusan kebajikan mangsa-mangsa yang terlibat dalam insiden kemalangan jalan raya di Lake Tekapo, New Zealand pada 30 Mac lalu telah selesai dan berjalan dengan lancar.
Kementerian Luar Negeri melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington berkata, hanya seorang pelajar masih menerima rawatan susulan di Hospital Christchurch.
Manakala dua orang mangsa yang tercedera telah dibenarkan keluar dari hospital.
Menurutnya, jenazah salah seorang pelajar yang terkorban telah selamat dikebumikan di Christchurch dan satu lagi jenazah seorang lagi pelajar telah dibawa pulang dan selamat dikebumikan di Malaysia.
“Kementerian Luar Negeri ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, termasuk Kerajaan New Zealand, Hospital Timaru, Hospital Christchurch, University of Canterbury, komuniti Malaysia di Christchurch, serta semua pihak lain yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam memudahcara dan memastikan pengurusan kebajikan kesemua mangsa yang terlibat berjalan dengan lancar,” ujarnya. – MalaysiaGazette