Rais Yasin

MELAKA – Melaka sudah bersiap sedia menghadapi peralihan monsun yang menyaksikan risiko kejadian ribut petir, hujan lebat serta angin kencang dalam jangka masa singkat sehinga Mei ini.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, kerajaan negeri sentiasa berbincang dengan agensi berkaitan selepas berakhirnya Monsun Timur Laut 2023/24 sejak 11 November lalu.

Menurutnya ia termasuklah dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Melaka.

“Di pihak MetMalaysia, saya juga selalu berbincang dan kalau ada apa-apa amaran berkaitan cuaca, tentulah kita akan bagitahu awal kepada penduduk.

“…bagi pihak berkuasa tempatan (PBT) mahupun Nadma kita sentiasa bersiap sedia, tetapi setakat ini tiada insiden-insiden banjir atau apa-apa yang teruk berkaitan bencana alam,” katanya.

Rais menyantuni rakyat yang menghadiri Majlis Rumah Terbuka peringkat DUN Paya Rumput di Dewan Kompleks Sukan Komuniti Krubong, Melaka hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput berkata demikian ketika ditemui pemberita di Majlis Rumah Terbuka peringkat DUN Paya Rumput di Dewan Kompleks Sukan Komuniti Krubong di sini hari ini.

Hadir sama Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam dan isteri, Toh Puan Asmah Abd Rahman serta Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan isteri Datin Seri Zuriyah Ab. Aziz.

Sebelum ini MetMalaysia berkata, semasa fasa peralihan monsun, kejadian ribut petir dan lazimnya membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam jangka masa singkat terutamanya pada waktu petang dan awal malam.

Ia melibatkan di kebanyakan kawasan di barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta selatan dan tengah Sarawak dan berpotensi menyebabkan banjir kilat, pokok tumbang serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh. – MalaysiaGazette