Gambar hiasan

MACHANG – Polis sedang memburu dua lelaki disyaki terbabit dalam cubaan rompakan menggunakan senjata api di sebuah kedai emas di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Machang Supt Ahmad Shafiki Hussin berkata, pihaknya menerima laporan daripada pemilik kedai mengenai kejadian itu kira-kira 2.20 petang selepas kedua-dua suspek melarikan diri menggunakan sebuah motosikal dipercayai jenis Yamaha Y15 berwarna biru dan tiada nombor pendaftaran.

“Cubaan rompak bersenjata api itu melibatkan dua lelaki yang berpakaian serba hitam, berseluar jean, memakai topi dan pelitup muka serta bersarung tangan.

“Semasa kejadian terdapat saksi yang cuba menangkap kedua-dua suspek tetapi gagal apabila mereka melarikan diri menggunakan sebuah motosikal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, ketika kejadian terdapat empat orang berada dalam premis tersebut iaitu pemilik kedai dan dua ahli keluarganya serta dua pekerja, dan kesemua mereka tidak mengalami sebarang kecederaan selain tiada kerugian dialami.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil bagi membantu siasatan dengan menyalurkan maklumat ke balai polis berdekatan,” katanya. – BERNAMA