Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nasri Omar. Foto WAN NABIL NASIR, 29 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersiap siaga dan memberi tumpuan kepada kawasan kemalangan dan kesesakan yang dijangka berlaku ketika warga kota pulang daripada berhari raya di kampung halaman.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Deputi Komisioner Datuk Mohd Nasri Omar berkata, pelbagai elemen telah diatur gerak oleh pasukannya dalam operasi tersebut.

“Anggota dan pegawai JSPT ditugaskan untuk memantau lokasi-lokasi panas berlaku kesesakan dan kemalangan sepanjang lebuhraya seluruh negara bagi memastikan orang ramai kembali semula ke ibu negara dalam keadaan selamat.

“Pegawai juga diarahkan sentiasa memantau aliran trafik untuk menjamin kelancaran trafik kenderaan seluruh negara kerana orang sudah mula kembali ke ibu negara bermula hari ini (Jumaat),” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Berikutan itu, beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya merancang perjalanan pulang khususnya mereka yang akan melakukan perjalanan yang jauh.

Menurut Mohd Nasri, antara yang boleh dilakukan ialah mengenal pasti lokasi untuk berehat jika perjalanan melebihi masa perjalanan biasa.

“Sebelum memulakan perjalanan pulang, sila pastikan kenderaan berada dalam keadaan baik terutama tekanan angin pada tayar,” katanya.

Tambah beliau, pengguna jalan raya bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan semua pihak. – MalaysiaGazette