Logo Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menghubungi pengendali akaun Mynewshub untuk dirakam percakapan susulan tindakan memuat naik dan memainkan semula klip video lama menyebabkan kekeliruan dalam kalangan pengguna media sosial.

SKMM berkata, pihaknya memandang serius penularan video berdurasi 1 minit 10 saat dengan tajuk, “Tanya pasal kuarters jer dh kene mcm tu depan KSN!!”
dilihat berniat untuk membina persepsi negatif terhadap penjawat awam.

“Klip video lama itu mencetuskan kekeliruan dalam kalangan pengguna media sosial.

“Berdasarkan kenyataan media Jabatan Perkhidmatan Awam, video tersebut merupakan simulasi kesiapsiagaan anggota keselamatan sekiranya berdepan dengan situasi serangan provokatif,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kes berkenaan sedang dijalankan siasatan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM50,000 atau
penjara sehingga satu tahun, atau kedua-duanya sekali.

“Orang ramai diingatkan agar tidak menyalahgunakan perkhidmatan rangkaian dan perkhidmatan aplikasi dalam talian untuk menyebarkan sebarang kandungan tidak sahih atau palsu,’ tegas SKMM.-MalaysiaGazette