Logo Hospital Cyberjaya, Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 14 APRIL 2024.

CYBERJAYA – Rakan kepada mangsa kes tembakan di Balai Ketibaan Lapangan terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 malam tadi, bersyukur kerana tidak menjadi mangsa dalam tragedi itu.

Norhafiza Azizan, 29, ketika ditemui di Hospital Cyberjaya di sini berkata, dia sepatutnya ditugaskan untuk mengawal isteri suspek memandangkan beliau telah beberapa kali mengawal individu berkenaan.

Bagaimanapun, disebabkan perayaan Aidilfitri, majikan di syarikat tempatnya bekerja telahpun memberikan dia cuti raya.

“Alhamdulillah, bersyukur saya kepada Allah kerana terlepas daripada menjadi mangsa dalam kejadian yang tidak disangka-sangka ini.

“Tapi, saya rasa sedih kerana rakan saya, Along (Muhammad Nur Hadith Zaini) mengalami nasib malang yang tak sepatutnya dihadapi,” katanya sambil memberitahu cuti yang diberi oleh majikan dimanfaat untuk pulang Kedah bagi menyambut Aidilfitri bersama keluarga.

Menceritakan lanjut, Norhafiza yang selesa dipanggil Fiza berkata, berdasarkan pengalamannya, ini bukanlah kali pertama suspek mengugut isterinya dengan ancaman bahaya.

Katanya, ketika dia diarah oleh majikannya untuk mengawal isteri suspek sebelum ini, perkara sama pernah berlaku.

Jelasnya, ugutan seperti itu berlaku pada penghujung tahun lepas namun, tiada sebarang serangan dilakukan oleh suspek.

“Ya, pernah berlaku ugutan sebelum ini tapi, tidaklah sampai ada serangan dibuat sebagaimana yang berlaku seperti hari ini,” tambahnya.

Terdahulu, dalam kejadian kira-kira pukul 1.20 pagi di Terminal 1 KLIA hari ini, seorang pengawal peribadi ditembak pada jarak dekat oleh suspek yang merupakan suami kepada isteri orang yang dikawal.

Suspek kemudian melarikan diri ke arah tempat letak kereta di tingkat 2, Blok C sebelum meloloskan diri.

Pengawal peribadi yang tercedera itu kini dilaporkan kritikal dan ditidurkan di hospital di sini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda serta jika perbuatan itu menyebabkan kecederaan maka hukuman penjara boleh dikenakan sehingga 20 tahun.

Kes turut disiasat di bawah Seksyen 8, Akta Senjata Api 1971 iaitu pemilikan senjata api tanpa kebenaran dan lesen yang sah atau melanggar syarat sah lesen boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi tujuh tahun atau dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali. .- MalaysiaGazette