Bangkai seekor ikan lumba-lumba seberat 220 kg ditemui di Pantai Ruat, Yan, Kedah semalam.

YAN – Penduduk berhampiran Pantai Ruat di sini, gempar selepas penemuan bangkai seekor ikan lumba-lumba seberat 220 kilogram (kg) yang terdampar di pesisir pantai tersebut semalam.

Bangkai haiwan mamalia itu ditemui kira-kira jam 5 petang oleh orang awam sebelum memaklumkan kepada Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Yan.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Yan, Leftenan (PA) Zul Izzi Zulkifli berkata, enam anggota bergegas ke lokasi selepas pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung penemuan ikan.

APM Daerah Yan melakukan khidmat khas mengalihkan bangkai ikan sepanjang 1.8 meter itu.

“Sebaik tiba, kita dapati seekor ikan lumba-lumba sepanjang 1.8 meter terdampar di pesisiran pantai disyaki terkena kipas bot.

“Pihak APM telah memaklumkan kepada pihak Jabatan Perikanan Kedah sebelum mengalihkan bangkai ikan tersebut ke lokasi lain bagi tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini. – MalaysiaGazette