Gambar Hiasan.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki ditahan polis kerana disyaki memecahkan cermin kereta serta mencuri barangan berharga di kawasan parkir hotel di Pasir Penambang, Kuala Selangor.

Timbalan Ketua Polis Kuala Selangor, Deputi Superitendan Mohd Ambia Nordin berkata, suspek berusia lingkungan 20-an itu dicekup semalam kira-kira jam 3 petang di Kampung Permatang Tengah.

“Pada 13 April lalu sekitar jam 9.30 malam, pihak polis telah menerima laporan berhubung kejadian itu daripada pengadu merupakan pekerja swasta.

“Susulan itu, sepasukan anggota telah menahan suspek warga tempatan namun masih mengesan lagi seorang rakan suspek yang masih bebas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, suspek kini direman tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Mohd Ambia menggesa orang ramai untuk menyalurkan maklumat berhubung seorang lagi rakan suspek yang masih bebas. – MalaysiaGazette