KEPALA BATAS – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Tasek Gelugor menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap Pengarah Media Pemuda Pas Selangor, Hezry Yasin atas ketelanjurannya memuat naik hantaran berbau hinaan kepada Yang di-Pertuan Agong.
Ketuanya, Nur Mushawwir berkata, hantaran yang dimuat naik Hezry merupakan satu perkara yang boleh membawa kepada ketidakharmonian kepada masyarakat dan boleh menyebabkan satu persepsi tidak baik terhadap Yang di-Pertuan Agong.
“Meskipun individu terbabit telah memohon maaf sejurus selepas mendapat kecaman netizen ia tidak meredakan kemarahan rakyat kerana perkara sebegini sering berulang.
“Kami harap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan tegas serta pengajaran yang boleh meredakan keteganggan sekali gus kita dapat hidup dalam suasana tenang dan harmoni,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, beliau bersama AMK Tasek Gelugor membuat laporan polis terhadap Hezry di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara di sini.
Mengulas lanjut Nur Mushawwir berkata, tindakan ke atas Hezry mesti dibuat agar ia menjadi pengajaran buat semua pihak termasuk pemain politik agar tidak lagi menyentuh atau menggunakan isu 3R (Agama, Bangsa dan Institusi Raja-Raja) sebagai senjata dalam serangan politik.
“Hanya tindakan tegas akan memberi pengajaran dan mampu menoktahkan permainan isu 3R oleh mana-mana pihak,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, Hezry dalam satu hantaran di media sosial mendakwa dia enggan menadah tangan ketika doa untuk Yang di-Pertuan Agong dan keluarga semasa solat Jumaat kerana menurutnya tidak memperjuang dan mempertahankan Islam ketika agama itu dikecam.
Dakwanya lagi, Yang di-Pertuan Agong membiarkan rakyat marhaen mempertahankan Islam sehingga dikecam, diperli dan ditertawakan.
Bagaimanapun, susulan itu Hezry tampil membuat permohonan maaf secara terbuka dan sedia memberikan kerjasama jika disiasat pihak berkuasa.
Hezry berkata, dia terkejut dan tidak menyangka muat naik berkaitan isu doa buat sultan atau Yang di-Pertuan Agong itu tular sehingga dikritik pelbagai pihak sebagai biadap. – MalaysiaGazette