Sesi hands-on bersama Komuniti Homestay Kuala Nerus.

Oleh: Prof. Madya Dr. Siti Nur ‘Atikah Zulkiffli & Dr. Nur Amalina Mohamad Zaki

TERENGGANU merupakan negeri pelancongan yang terkenal dengan keindahan semula jadi, warisan budaya, serta kehidupan komuniti yang seimbang antara kehidupan moden dan tradisional. Terengganu berpotensi menjadi destinasi utama bagi pelancong yang mencari pengalaman pelancongan yang menenangkan, lagi unik.

Antara tempat-tempat pelancongan di negeri Terengganu yang sering dikunjungi pelancong dari dalam dan luar negara adalah seperti Pulau Redang, Pulau Perhentian, Pulau Kapas, Pulau Lang Tengah, Pantai Batu Burok, Pantai Telok Ketapang, Pantai Air Tawar, Tasik Kenyir, Air Terjun Chemerong, Air Terjun Lata Belatan, Santuari Kelah, Pusat Santuari Penyu Rantau Abang, Muzium Negeri, Taman Tamadun Islam, Masjid Kristal, Masjid Terapung dan banyak lagi.

Bagi tahun 2024, Kerajaan Terengganu menyasarkan 4.5 juta pengunjung dari dalam dan luar negara akan melancong ke negeri Terengganu. Ini membuka peluang besar bagi pembangunan rumah penginapan pelancongan. Bertepatan dengan negeri Terengganu yang terkenal sebagai “Negeri Cantik, Budaya Menarik, Orangnya Baik-baik”, rumah penginapan di Terengganu lazimnya menawarkan gabungan antara keselesaan (dari kesesakan bandar), pengalaman budaya tempatan, keramahan penduduk tempatan, dan harga yang berpatutan, menjadikan rumah inap di Terengganu sebagai pilihan popular di kalangan pelancong.

Terdapat lapan daerah di negeri Terengganu. Kuala Nerus, merupakan daerah kelapan  dan terbaru di Terengganu, menawarkan keunikan yang dicari oleh kebanyakan pelancong. Daerah Kuala Nerus pada asalnya terletak di daerah Kuala Terengganu, namun pada tahun 2014, 65% daripada kawasan daerah Kuala Terengganu diisytiharkan sebagai daerah Kuala Nerus (sumber: Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Nerus). Kini, Kuala Nerus menawarkan pelbagai tarikan kepada pelancong dari perkampungan nelayan, pesisir pantai yang putih, taman laut, sehingga ke pulau dengan keindahan menakjubkan seperti Pulau Redang, Pulau Bidong dan Pulau Lang Tengah.

Uniknya Daerah Kuala Nerus ini bukan sahaja kerana ia adalah Lembah Ilmu (terletaknya pelbagai pusat pengajian seperti universiti, institusi pengajaran, politeknik, maktab rendah sains mara, dan sekolah sukan), malah daerah ini merupakan ‘Pintu Gerbang’ utama ke Negeri Terengganu kerana terdapatnya Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Mahmud dan Lapangan Terbang Pulau Redang (Pulau Terbesar di Pantai Timur), serta ‘Pintu Keluar’ Lebuhraya Pantai Timur (LPT) II.

Keunikan Kuala Nerus serta lokasinya yang strategik telah meningkatkan lagi bilangan rumah-rumah inap di Kuala Nerus seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Walaupun akhir-akhir ini terdapat juga peningkatan kes-kes melibatkan penipuan tempahan sewaan rumah inap (rumah inap tidak wujud), namun dengan strategi dan kerjasama antara pihak berkepentingan tempatan, industri pelancongan, dan kerajaan, hasrat untuk memaksimumkan potensi rumah inap sebagai sumber pendapatan tambahan bagi penduduk tempatan dapat dilaksanakan.

Sebagai contohnya, pengurusan tempahan secara digital merupakan aspek penting dalam pembangunan pendigitalan rumah inap khususnya di bandar baharu atau kawasan yang sedang berkembang seperti Kuala Nerus. Dengan adanya platform atas talian yang menyediakan maklumat tentang ketersediaan penginapan, aktiviti-aktiviti tempatan, tempat-tempat menarik, serta pakej-pakej pelancongan, pelancong dapat merancang lawatan mereka dengan lebih mudah. Pendigitalan juga membolehkan pembangunan aplikasi interaktif yang memberikan pendedahan kepada pelancong tentang budaya tempatan, termasuk makanan tempatan, dan adat istiadat.

Melalui aplikasi interaktif ini, para pelancong dapat mengakses panduan pelancongan secara digital yang secare tidak langsung dapat meningkatkan tarikan serta memudahkan lagi pelancong untuk menjelajah sesebuah kawasan. Justeru itu, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), di bawah pembiayaan dana dari ‘Knowledge and Technology Assimilation Grant Scheme (KTAGS)’, telah menganjurkan empat siri bengkel melibatkan lebih 100 pengusaha-pengusaha rumah inap di Kuala Nerus di mana setiap bengkel mempunyai fokus tersediri; iaitu 1) pengiklanan di Google Business, 2) pembangunan laman web, 3) pengiklanan di media sosial (Facebook, Instagram, dan TikTok), serta 4) akta dan perundang berkaitan rumah inap. Bengkel-bengkel ini dilaksanakan bagi meningkatkan lagi pengetahuan dan kemahiran pengusaha rumah inap Kuala Nerus dalam melaksanakan pendigitalan pelancongan di Terengganu, selari dengan rancangan transformasi digital negeri Terengganu dan kerajaan Malaysia.

Dengan usaha-usaha pemerkasaan pendigitalan rumah inap di Kuala Nerus ini, bukan sahaja para pengusaha rumah inap ini mendapat pendedahan terhadap teknologi agar terus berdaya saing, malah komuniti tempatan juga memperoleh manfaat melalui peningkatan pendapatan serta ekonomi tempatan dengan kehadiran pelancong. Di era yang terus berkembang ini, integrasi teknologi dalam industri pelancongan adalah penting bagi memastikan kelestarian dan keunggulan Kuala Nerus sebagai salah satu destinasi pelancongan terkemuka bukan sahaja di Terengganu dan di Malaysia, malah juga di seluruh dunia.

Penulis dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT)