Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang

KUALA LUMPUR – Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sabah akan menganjurkan Majlis Sambutan Aidilfitri Madani Peringkat Kebangsaan yang diadakan pada 20 April ini.

Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, majlis tersebut akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibraim dan turut dihadiri oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

“Sambutan Aidilfitri Madani 2024 adalah platform untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang, berkumpul dengan semangat perpaduan dalam suasana harmoni,” katanya menerusi kenyataan.

Jelas Aaron, majlis sambutan yang bakal diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) itu bertemakan perpaduan melalui perayaan iaitu menonjolkan keindahan perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum.

“Sambutan ini wajar dijadikan sebagai alat penyatuan seluruh Bangsa Malaysia serta dijadikan sebagai teras perpaduan yang merupakan kunci utama kepada keharmonian rakyat dan negara.

“Perpaduan dan kepelbagaian kaum, budaya serta kepercayaan agama di Malaysia adalah aset penting yang perlu dipelihara dan dipertahankan oleh semua rakyat,” katanya lagi.

Sementara itu, Aaron berkata, majlis tersebut menandakan bermulanya Jelajah Kembara Perpaduan sempena Sambutan Minggu Perpaduan 2024 Mei ini.

Pelbagai pengisian menarik akan diadakan seperti Pameran Rumah KAMI merangkumi 12 buah rumah etnik, pameran alat muzik, tarian dan permainan tradisional serta persembahan artis terkenal tanah air. – MalaysiaGazette