Mohd Shuhaily Mohd Zain menunjukkan gambar suspek, Hafizul Zarawi yang melepaskan tembakan di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Foto WAN NABIL NASIR, 14 APRIL 2024.

KUALA LUMPUR – Suspek lelaki yang melepaskan tembakan di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, Sepang, Selangor dijadual akan tiba di Pangkalan Pasukan Gerakan Udara (PGU) Petaling Jaya petang ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain turut akan berada dilokasi.

Suspek, Hafizul Hawari, 38, ditahan di hadapan Hospital Pakar Perdana iaitu beberapa meter dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan jam 3 petang semalam selepas berlaku pergelutan.

Suspek ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Kelantan.

Turut dirampas pistol yang dipercayai digunakan ketika kejadian.

Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini, membenarkan suspek yang disyaki melepaskan tembakan di pada hujung minggu lalu ditahan reman selama tujuh hari.

Perintah reman hari ini sehingga 22 April (Khamis) itu dikeluarkan Hakim Tuan Rais Imran Hamid bagi membolehkan siasatan dijalankan ke atas suspek.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi Ahad, seorang pengawal peribadi kepada isteri suspek tercedera akibat terkena tembakan tersebut.

Akibat kejadian itu, pengawal peribadi berkenaan dikejarkan ke hospital berdekatan dan kini dilaporkan stabil.

Beberapa das tembakan yang dilepaskan suspek menggemparkan orang ramai di balai ketibaan terletak di aras tiga KLIA.

Suspek dipercayai cuba menembak isterinya dengan menggunakan sepucuk pistol ketika wanita itu menunggu jemaah umrah pulang dari Tanah Suci di Balai Ketibaan Antarabangsa bersama dua pengawal peribadi.

Mohd Shuhaily pada sidang media sebelum ini, memaklumkan suspek melepaskan dua das tembakan ke arah isterinya.

Katanya, satu das tembakan tersasar, namun satu lagi das tembakan terkena seorang pengawal peribadi isteri suspek.

Mohd Shuhaily berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.-MalaysiaGazette