KUANTAN – Sekurang-kurangnya seramai 10,000 orang termasuk pemain industri dijangka hadir ke Malaysia International Tourism Expo 2024 (MITE) pada Oktober ini.
Exco Perpaduan, Pelancongan, dan Kebudayaan Pahang, Leong Yu Man berkata, penganjuran acara itu dijadualkan berlangsung pada 8 hingga 10 Oktober tahun ini di Sultan Ahmad Shah International Convention Centre Kuantan.
Kerajaan Pahang melalui Tourism Pahang juga menjangka sambutan penyertaan dari 200 orang registered buyers, 200 orang sellers pengusaha pelancongan dari rantau Asia Tenggara serta 100 orang premium buyers.
“Dan kali ini kita di Pahang dan di Kuantan menjadi satu hab baharu untuk pertemuan bagi pemain industri. Ia termasuk sesi business to business yang memudahkan rangkaian dan interaksi perniagaan dalam kalangan pembeli dan penjual industri pelancongan dan persembahan kebudayaan yang mempamerkan tarikan dan keunikan Pahang.
“Acara tersebut menggalakkan kemampanan dan menyokong amalan pelancongan bertanggungjawab yang mengutamakan pemuliharaan alam sekitar, pemeliharaan budaya dan kesejahteraan penduduk tempatan, memastikan daya maju jangka panjang pembangunan pelancongan di rantau ini,” katanya ketika sidang media di sini hari ini.
Hadir sama Presiden dan ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Hospitaliti 360, Datuk Sri Omar Naresh Mohan dan Pengurus Besar Tourism Pahang, Kamaruddin Ibrahim.
Antara aktiviti yang akan dirancang sepanjang berlangsungnya Malaysia International Tourism Expo 2024 Pahang ini termasuk pameran pelancongan melibatkan penyertaan seluruh negeri di Malaysia, penyertaan dari negara rantau Asia Tenggara dan juga seluruh dunia.
Mengulas lanjut, katanya, program berkenaan menyediakan platform business to business kepada pemain pelancongan Asia Tenggara dan seluruh dunia untuk berhubung dan memupuk kerjasama antara satu sama lain.
Selain itu, ia menawarkan seminar dan bengkel kepada pemain industri bagi mendapatkan pandangan dan pengetahuan di samping mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi mendapatkan sumber dan transaksi perniagaan di kalangan peserta pameran dan pembeli.
Tambahnya, penganjuran seminar pelancongan itu juga dapat membincangan isu-isu pelancongan dari pakar industri pelancongan pelbagai negara.
MITE 2024 Pahang ini adalah inisiatif Kerajaan Negeri Pahang melalui belanjawan 2024 yang telah dibentangkan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pada tahun lalu. – MalaysiaGazette