Menteri Pengangkutan, Anthony Loke

PUTRAJAYA – Anugerah kontrak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta sistem MySIKAP bernilai RM190.01 juta kepada HeiTech Padu Bhd diberikan sebelum Datuk Farhash Wafa Salvador menjadi pemilik saham terbesarnya.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke membuat penjelasan tersebut selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membangkitkan isu berkenaan dalam mesyuarat Kabinet hari ini.

Menurutnya, Perdana Menteri turut terbuka jika ada mana-mana pihak mahu membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu berkenaan.

“Keputusan (pemberian tawaran) telah dibuat pada awal Februari dan surat setuju terima hanya dikeluarkan pada 5 April 2024 oleh JPJ kepada HeiTech dan pada 15 April HeiTech mengumumkan perkara ini kepada Bursa Malaysia.

“Jadi Perdana Menteri dan Jemaah Menteri ambil perhatian serius sindiran yang cuba mengaitkan bahawa konon kontrak ditawar kepada HeiTech Padu kerana ada hubung kait dengan seorang yang rapat dengan PM.

“Kalau ada mana-mana pihak yang masih tidak berpuas hati dengan penjelasan ini PM mengalu-alukan mereka membuat laporan kepada SPRM supaya siasatan terperinci boleh diadakan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Pada Isnin lalu, media melaporkan HeiTech menerima kontrak perkhidmatan penyelengaraan dan sokongan teknikal bagi MySikap dan Perkakasan dan Perisian Sistem Kerangka Utama untuk semua pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Bagaimanapun ada pihak menyindir tawaran berkenaan kerana pemegang saham terbesar HeiTech Padu, Farhash merupakan bekas setiausaha politik kepada Anwar.

Farhash muncul sebagai pemegang saham besar baharu HieTech pada Mac lalu dengan kepentingan tidak langsung sebanyak 15.9 peratus.

Anthony juga menjelaskan tiga syarikat bersaing merebut tawaran yang dibuat secara terbuka dan HeiTech menawarkan harga pembekal paling rendah iaitu RM199.5 juta sekali gus terpilih.

Sementara itu, Anthony menolak dakwaan wujud salah laku yang membolehkan Farhash mendapat maklumat dalaman penganugerahan kontrak tersebut dan membuatkan beliau melakukan pembelian saham HeiTech Padu.

“Datuk Farhash tidak ada dalam kerajaan. Dia tidak memberikan apa-apa perkhidmatan dalam apa juga kapasiti dalam Pejabat Perdana Menteri. Jadi untuk membuat dakwaan tersebut saya rasa adalah tidak betul,” katanya.

Media sebelum ini membuat laporan, bekas Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil membuat laporan polis terhadap Farhash berhubung dakwaan pelaburan hampir RM40 juta di sebuah syarikat yang disenarai pendek untuk kontrak kerajaan.

Isham berkata, bekas setiausaha politik kepada Perdana Menteri itu harus menjelaskan bagaimana dia memperolehi wang sebanyak itu untuk menjadi pemegang saham besar HeiTech Padu Bhd. – MalaysiaGazette