Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) mengekalkan prospek positif terhadap sektor penerbangan meskipun ketegangan meningkat di Timur Tengah, trafik penumpang yang berpotensi terjejas di rantau itu dan kos bahan api jet yang turun naik.

Bagaimanapun, ia menganggarkan dalam kes senario terburuk, sekiranya trafik penumpang dari dan ke Timur Tengah terhenti sepenuhnya, pendapatan MAHB dijangka menyusut sebanyak 26 peratus bagi asas tahun penuh, manakala harga sasaran saham (TP) akan turun kepada RM6.61 (-26 peratus).

“Apa yang membimbangkan kami adalah trafik penumpang ke dan dari Timur Tengah akan memberi kesan kepada operasi Malaysia dan Turkiyenya. MAHB setakat ini belum mengeluarkan statistik lapangan terbang 2023 yang memperincikan trafik penumpang dari rantau itu.

“Mengikut statistik lapangan terbang 2019 (sebelum pandemik), trafik penumpang ke dan dari Timur Tengah menyumbang tujuh peratus daripada trafik penumpang antarabangsa di KLIA dan 28 peratus daripada trafik penumpang antarabangsa di Sabiha Gokcen Istanbul,” katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Sementara itu, bagi Capital A dan AAX, Maybank IB berkata, kebimbangan utama ialah kesan harga bahan api jet yang lebih tinggi berikutan keempat-empat syarikat penerbangan Capital A tidak terbang ke mana-mana destinasi di Timur Tengah.

“Walaupun unjuran kami harga pada US$105 setong untuk bahan api jet semerta, ia tidak jauh daripada US$104 setong pada ketika ini.

“Jeddah, Arab Saudi, satu daripada destinasi AAX,  tetapi destinasi ini hanya menyumbang antara 5.0-7.0 peratus daripada jumlah kilometer tempat duduknya, jadi, seperti Capital A, kebimbangan utama kami untuk AAX ialah harga bahan api jet yang melambung tinggi,” katanya.

Bank pelaburan itu mengunjurkan setiap kenaikan US$1 setong harga bahan api jet, ia akan menurunkan anggaran keuntungan bersih terasnya sebanyak RM14 juta dan TP berasaskan jumlah bahagian (SOP) sebanyak 24 sen.

Ia seterusnya menyatakan bahawa anggaran pendapatan, saranan dan TP sedang disemak.

Pada 11.37 pagi, saham MAHB susut 20 sen kepada RM9.86 dengan 452,800 saham didagangkan; AAX naik satu sen pada RM1.25 dengan 193,400 saham bertukar tangan; manakala Capital A  menokok setengah sen pada 67.5 sen dengan 2.44 juta saham diniagakan. – BERNAMA