Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya yang tergendala akibat gangguan bekalan kuasa petang tadi akan kembali beroperasi secara normal mulai jam 6 pagi ini.

Rapid Rail Sdn Bhd dalam kenyataan berkata, jadual perkhidmatanya akan beroperasi dengan kekerapan tren tiga minit pada waktu puncak dan tujuh minit bagi waktu luar puncak.

“Beberapa fasiliti seperti eskalator dan lif di stesen LRT Kelana Jaya, Taman Bahagia dan Asia Jaya masih lagi belum berfungsi namun kerja-kerja pembaikan sedang giat dijalankan.

“Bagi penumpang yang memerlukan bantuan khusus, sila berhubung dengan petugas-petugas stesen dan anggota Polis Bantuan,” katanya.

Sementara itu, Rapid Rail memohon maaf kepada semua penumpang atas kelewatan dan kesulitan yang dialami.

Katanya, pengguna boleh menghubungi talian khidmat pelanggan Rapid KL di talian 03-7885 2585 atau berhubung menerusi platform media sosial Rapid KL.

Terdahulu, perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya mengalami gangguan susulan sistem bekalan kuasa yang disambar petir, pada jam 3.30 petang.

Situasi itu menyebabkan tren-tren tambahan dari Depoh LRT Subang tidak dapat digerakkan untuk kegunaan operasi waktu puncak.

Rapid Rail berkata, gangguan tersebut juga telah mengakibatkan perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya beroperasi dengan kekerapan tren empat hingga lima minit. – MalaysiaGazette