ALOR SETAR – Seorang lelaki warga emas maut digilis sebuah treler selepas terjatuh dari motosikal ditungganginya di Jalan Gangsa, Mergong di sini hari ini.
Komander Operasi, Pegawai Kanan Bomba II Ahmad Norazlan Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan melibatkan warga emas berusia 73 tahun itu pukul 10.04 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Alor Setar dikejarkan ke lokasi.
Jelasnya, sebaik tiba di lokasi kejadian pihaknya mendapati kemalangan melibatkan sebuah motosikal jenis Honda EX-5 dengan treler.
“Mangsa dipercayai digilis di bahagian kepala dan badan selain badanya turut tersepit di bawah lori di bahagian tayar hadapan.
“Susulan itu, kita bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas sebelum pegawai perubatan dari Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan mangsa telah meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Ahmad Norazlan, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah. – MalaysiaGazette