Gambar hiasan

KANGAR – Seorang kakitangan Pejabat Perikanan Perlis direman empat hari bermula hari ini untuk membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah RM800 secara bulanan daripada sebuah syarikat pada 2022.

Perintah reman terhadap lelaki berusia 44 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Mahkamah Kangar Nurshahida Abdul Rahim selepas permohonan dibuat SPRM Perlis pagi tadi.

Individu berjawatan Pembantu Laut (Gred A19) itu ditahan di Pejabat SPRM Perlis pada 2.45 petang semalam semasa tampil memberikan keterangan.

Sumber memberitahu, lelaki berkenaan dipercayai meminta dan menerima wang rasuah berjumlah RM800 secara bulanan daripada sebuah syarikat menerusi akaun orang tengah sebagai dorongan pihak Jabatan Perikanan tidak mengambil tindakan terhadap kesalahan yang dilakukan bot-bot penangkapan ikan milik syarikat tersebut.

“Suspek dipercayai menerima wang rasuah berjumlah RM800 secara bulanan membabitkan enam transaksi melalui pindahan akaun orang tengah,” menurut sumber.

Sementara itu, Pengarah SPRM Perlis Mohd Nor Adha Ab Gani mengesahkan tangkapan berkenaan dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – Bernama