Chong Chieng Jen

KUALA LUMPUR – Semua pihak perlu memastikan keselamatan pekerja dan orang awam semasa menjalankan operasi yang melibatkan kenderaan berat di jalan raya.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan
Negara (NIOSH), Chong Chieng Jen berkata, majikan dan pekerja diminta mengamalkan kaedah Pengenalpastian Bahaya, Penilaian Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC) ketika melakukan operasi itu.

Melalui kaedah HIRARC, katanya, semua pihak terutamanya majikan akan dapat mengurangkan risiko dan meningkatkan keselamatan di tempat kerja secara proaktif.

“Ia juga selari dengan petuntukan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (OSHA 1994), yang dengan jelas menggariskankan tanggungjawab majikan termasuk kontraktor, subkontraktor serta pekerja untuk memastikan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan berikutan kemalangan melibatkan lori air milik kontraktor pihak berkuasa tempatan di Miri, Sarawak pada Selasa lepas mengakibatkan kematian seorang lelaki berusia 39 tahun manakala kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun berada dalam keadaan kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Miri.

Ekoran kemalangan tersebut, NIOSH mengulangi kepentingan langkah-langkah keselamatan membabitkan aspek peningkatan visibilti, pengurusan trafik menyeluruh, audit keselamatan berkala, latihan dan pendidikan dan kesedaran awam dilaksanakan.

Bagi aspek peningkatan visibilti, Chieng Jen berkata, kenderaan yang terlibat dalam operasi atas jalan dan tepi jalan harus dilengkapi dengan tanda amaran visibiliti dan lampu amaran yang mencukupi agar kenderaan lain tahu mengenai kedudukan dan aktiviti mereka.

Selain itu, tambah beliau, pihak terbabit perlu melaksanakan pelan pengurusan trafik yang baik termasuk menyediakan papan tanda yang sesuai, penghadang jalan dan had laju bersesuaian di kawasan operasi untuk melindungi pekerja dan pengguna
jalan raya.

Menurut beliau, audit dan pemeriksaan keselamatan berkala perlu dijalankan terhadap peralatan dan kawasan operasi bagi memastikan pematuhan keselamatan berada pada tahap tertinggi.

Selain itu, katanya, latihan berterusan untuk semua personel yang terlibat dalam operasi di jalan raya perlu dilaksanakan untuk memastikan mereka menyedari dan mahir dalam amalan keselamatan terkini dan langkah-langkah pengurangan risiko.

Kesedaran Awam pula akan meningkatkan kesedaran awam mengenai kewujudan kenderaan yang menyediakan perkhidmatan di jalan raya dan keperluan untuk mengurangkan kelajuan dan sentiasa berhati-hati apabila melalui zon kerja mereka, ujarnya.

“NIOSH komited untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan, kontraktor dan masyarakat untuk mengkaji semula dan meningkatkan protokol keselamatan demi mencegah kemalangan yang serupa pada masa hadapan,” katanya.

Chieng Jen berkata, keselamatan adalah tanggungjawab bersama dan semua pihak harus bekerjasama untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan setiap individu, sama ada di tempat kerja atau di dalam komuniti secara keseluruhan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast