tsunami
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kualiti udara permukaan di Sabah dan Sarawak tidak terjejas berdasarkan pencerapan indeks pencemaran udara (IPU) berikutan letusan Gunung Berapi Ruang, Indonesia.

Jabatan Meteorologi (MET Malaysia) bagaimanapun berkata, ketinggian letusan yang dicerap sehingga 55,000 kaki dan awan debu yang terbentuk boleh menyebabkan risiko kepada keselamatan pesawat.

“Pada masa ini, Indonesia telah mempertingkatkan amaran letusan gunung berapi kepada Tahap 4 (AWAS) dan menjangkakan Gunung Berapi Ruang akan terus aktif dan boleh meletus dari semasa ke semasa.

“MET Malaysia akan terus memantau kesan letusan Gunung Berapi Ruang terhadap negara.

“Orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa peka dengan maklumat yang dikeluarkan oleh MET Malaysia melalui laman web rasmi, aplikasi myCuaca dan media sosial,” katanya dalam kenyataan.

Gunung Berapi Ruang di Sulawesi Utara berketinggian 725m dari paras laut telah meletus pada 9.45 pagi Selasa lalu.-MalaysiaGazette