KUALA LUMPUR – Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2024 edisi ke-20 buat julung kali akan diadakan di Dubai pada November ini.

Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, ia merupakan langkah ke hadapan bagi melebarkan industri halal tempatan ke mata dunia.

“Ini merupakan satu lagi langkah ke hadapan yang kita ambil. Dubai merupakan lokasi sering diadakan pameran besar, ini  menjadikan lokasi Dubai tempat tarikan dalam masa yang sama dapat melonjakkan lagi angka eksport dan penting untuk industri halal negara diantarabangsakan,” katanya ketika sidang media selepas Pra Pelancaran MIHAS 2024, di sini, hari ini.

Terdahulu katanya, MIHAS 2024 akan diadakan pada 17 hingga 20 September di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), dua bulan sebelum pameran itu diadakan di Dubai.

Jelas Reezal, sebanyak 14 kluster baru yang akan diperkenalkan kali ini termasuk kluster kelestarian iaitu kesedaran untuk syarikat-syarikat dalam industri halal negara menghadapi cabaran perdagangan dunia ketika ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, sasaran jualan pada tahun ini akan diumum dalam masa terdekat.

“Ia merupakan strategi untuk industri halal berdepan dengan cabaran-cabaran daripda pelbagai aspek dalam perdagangan eksport,” katanya.

Beliau menjangkakan sebanyak 40,000 peserta menyertai MIHAS 2024 selain 2,000 pameran daripada 45 buah negara.

Mengulas lanjut Reezal, MATRADE juga mempertimbangkan untuk mengadakan MIHAS  di China dan Eropah.

MIHAS 2023 edisi ke-19 mencatatkan jualan sebanyak RM3.11 bilion, melepasi sasaran yang ditetapkan. – MalaysiaGazette