GEORGE TOWN – Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) sedia melepaskan rizab Empangan Mengkuang Diperbesarkan (EMD) sekiranya tidak dapat mengabstrak air mentah yang mencukupi dari Sungai Muda, Kedah.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ir. K. Pathmanathan berkata, PBAPP mampu melepaskan maksimum 600 juta liter air mentah sehari (JLH) dari EMD bagi menampung sumber air susulan Sungai Muda terus menyusut berikutan cuaca kering.
Jelas Pathmanathan, PBAPP juga berjaya menjalankan percubaan pelepasan dari EMD sebagai persediaan untuk senario kes yang lebih teruk.
“Pada Selasa lalu, paras Sungai Muda di muka sauk Lahar Tiang PBAPP di Seberang Perai turun kepada 1.72 meter iaitu di bawah paras selamat 2.0 meter.
“Kita juga mengabstrak kira-kira 1,200 JLH dari Sungai Muda untuk pengeluaran optimum air terawat di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua dan LRA tersebut menghasilkan 85 peratus air terawat yang diagihkan di negeri ini setiap hari.
”Di Kedah, SADA mengumumkan Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) dan Pejabat Lembangan Sungai Muda (PLSM) telah meningkatkan jumlah air yang dlepaskan dari Empangan Beris ke Sungai Muda, daripada 864 JLH kepada 1,296 JLH,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, selagi PBAPP dapat mengabstrak 600 JLH air mentah dari Sungai Muda dan melepaskan 600 JLH daripada EMD, Pulau Pinang tidak akan berdepan gangguan bekalan air tidak berjadual.
“Namun begitu, PBAPP kini beroperasi pada status siap siaga yang tinggi kerana Sungai Muda adalah sumber air mentah utama Pulau Pinang.
“Kita juga akan memantau paras sungai dengan teliti selain akan memberikan kemas kini awam, apabila senario Sungai Muda semakin baik atau semakin merosot,” katanya. – MalaysiaGazette