Nga Kor Ming.

KUALA KUBU BHARU – Peruntukan yang akan disalurkan kepada Ahli Parlimen pembangkang adalah bersyarat, kata Ketua Whip DAP, Nga Kor Ming.

Jelasnya, persetujuan yang dibuat oleh Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan di Sri Perdana, Putrajaya semalam bagaimanapun tidak membincangkan mengenai syarat-syarat berkenaan.

“Peruntukan (kepada Ahli Parlimen pembangkang) itu diberi tertakluk kepada syarat dan terma yang akan dibincangkan.

“Belum lagi dibincangkan tapi itu tertakluk,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan Sentuhan Kasih KPKT ke Kuala Kubu Bharu, hari ini.

Kor Ming berkata demikian mengulas pertanyaan media mengenai kenyataan Ketua Whip Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fadillah Yusof bahawa keraajan perpaduan bersetuju untuk menyaluarkan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.

Kor Ming berkata, perkara itu telah dibincangkan dengan semua ketua whip parti dalam kerajaan perpaduan. 

“Kita perlukan pembangkang yang bertanggungjawab dan bukan yang asyik hanya memainkan isu sentimen yang tidak membina yang merugikan negara kita,” katanya.

Fadillah dalam satu kenyataan pagi tadi berkata, deraf Memorandum Persefahaman (MoU) akan dirangka terlebih dahulu dan akan dipanjangkan kepada pihak pembangkang sebagai langkah perundingan seterusnya.

Perkara ini katanya dipersetujui dalam mesyuarat lebih satu jam yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta dihadiri oleh pemimpin tertinggi parti-parti komponen Kerajaan Perpaduan.

Media sebelum ini melaporkan Fadillah yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, tuntutan peruntukan oleh wakil rakyat pembangkang akan dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan.

Ditanya mengenai desas-desus bahawa DAP akan menamakan orang Melayu sebagai calon di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu, Kor Ming meminta masyarakat tidak memainkan isu siapa pun calon yang akan diketengahkan oleh Pakatan Harapan (PH).

“Tunggu tarikh kita jangan mainkan isu yang penting bagi saya tidak kita mana-mana kaum, semua anak kita yang penting calon itu dapat berkhidmat, berbakti dan bekerja berjasa kepada warga Kuala Kubu Bharu,” katanya.

Kor Ming berkata demikian mengulas pertanyaan media bahawa Ahli Majlis Perbandaran Hulu Selangor, Saripah Bakar disebut-sebut mewakili PH pada 11 Mei ini.

Memetik laporan sumber, laporan itu berkata, Saripah lebih popular dalam kalangan akar umbi berbanding nama lain.

Kuala Kubu Baharu ialah kerusi campuran, dengan 50 peratus pengundi Melayu, Cina 30 peratus dan India 18 peratus.

Kerusi itu yang diwakili ADUN DAP,  Lee Kee Hiong sejak 2004 itu meninggal dunia pada 21 Mac lalu akibat kanser. – MalaysiaGazette