Gulam Muszaffar Gulam Mustakim

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) digesa meletakkan calon daripada Pas untuk bertanding di enam Parlimen dan satu Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya kerusi terbabit diisytiharkan kosong susulan pindaan Perlembagaan Bersatu.

Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, Gulam Muszaffar berkata, ini kerana wakil rakyat daripada parti Islam itu terbukti lebih walak dan setia kepada parti berbanding Bersatu.

“Ahli Parlimen dan ADUN Pas lebih walak dan kesetiaan mereka terhadap parti lebih tinggi berbanding Ahli Parlimen Bersatu.

“Secara logik, PAS sebenarnya tak perlukan Bersatu untuk sokongan Melayu dan Islam serta Gerakan untuk sokongan bukan Melayu.

“Mereka sendiri boleh bergerak solo, Bersatu & Gerakan ibarat biawak hidup bagi PN,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) telah meluluskan permohonan pindaan Perlembagaan Bersatu.

Ia membolehkan parti itu mengosongkan kerusi enam ahli Parlimen yang bertindak memberi sokongan kepada pihak lawan.

Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad berkata, pindaan perlembagaan parti tersebut boleh dijalankan bermula 8 April lalu.

Dalam pada itu, Gulam berkata, politik dalaman yang sedang melanda Bersatu boleh merosakkan imej Pas dan membahayakan PN untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.

“Lebih-lebih lagi geng kluster mahkamah oleh pemimpin Bersatu bakal dibicara akan mengikis kepercayaan rakyat,” katanya.

Menurut beliau, Pas diakui lebih stabil, mempunyai struktur jentera yang jitu dan akar umbi yang kuat berbanding Bersatu.

“Malah lebih kerusi Parlimen berbanding Bersatu dan mempunyai empat negeri yang ditadbir.

“Bersatu ibarat parti tin kosong sahaja sebenarnya dan Gerakan pulak ibarat tong najis buat Pas,” katanya.

Katanya lagi, peluang PAS lebih cerah berbanding Bersatu sekiranya tujuh PRK diadakan dan menjadi calon bertanding dengan UMNO.

Mungkin dari 43 kerusi yang Pas sedia ada akan bertambah.

“Kalau saya pemimpin Pas, saya akan mulakan gerakan agar Pas bergerak solo untuk PRK dan PRU16 nanti,” katanya lagi. – MalaysiaGazette