Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap kepada media selepas menunaikan solat jumaat di Masjid Bandar Teknologi Kajang, Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 19 APRIL 2024.

KAJANG – Ikrar afidavit yang menyokong permohonan Datuk Seri Najib Razak mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan titah adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 (YDPA) oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi adalah atas kapasiti beliau sebagai Presiden UMNO.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan berpendirian semua itu melibatkan raja-raja dan ia tidak harus dicabar.

“Sebab itu saya tidak mahu ulas selain mengatakan ini prinsip pendirian kerajaan bukan sahaja sekarang, tapi selamanya sejak merdeka,” katanya selepas selesai solat Jumaat di Masjid Bandar Teknologi Kajang, hari ini.

Anwar diminta mengulas mengenai Ahmad Zahid yang membuat afidavit bagi menyokong permohonan Najib untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan titah adendum atau tambahan YDPA ke-16.

Sementara itu, Anwar berkata, beliau tidak mahu terlibat dalam perbincangan titah berkenaan kerana ia adalah bidang kuasa Lembaga Pengampunan.

“Sepatutnya semua pihak terima kenyatan tersebut dan terus dengan tumpuan kita untuk menjamin keamanan, kuatkan kestabilan dan politik dan membangunkan negara,” jelasnya.

Menerusi afidavit diikrarkan Ahmad Zahid pada 9 April lalu, beliau dimaklumkan mengenai kewujudan titah itu oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, ketika pertemuan di rumah Presiden UMNO itu pada 30 Januari lalu.

Ahmad Zahid berkata, beliau melihat dan membaca titah adendum itu dan jelas dengan isi kandungannya.

“Saya sesungguhnya percaya bahawa untuk tempoh masa mencukupi saya melihat dan membaca Titah Adendum, malah saya melihat dengan jelas semua kandungannya serta bahawa ia adalah sebahagian daripada proses pengampunan pemohon (Najib) yang menjadi tambahan kepada titah utama, kedua-duanya bertarikh 29 Januari 2024.

“Justeru, saya dengan ini mengesahkan kewujudan Titah Adendum bertarikh 29 Januari 2024 yang dititahkan Yang di-Pertuan Agong (ketika itu),” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast