Di media sosial hari ini tular ada lambakan beras, sardin, tepung dan teh dibuang begitu sahaja di satu lokasi yang belum dikenal pasti.

KUALA LUMPUR – Beras serta barangan lain yang dibuang secara lambak di tempat pembuangan sampah yang tular di Temerloh merupakan barangan telah rosak dan tidak sesuai lagi untuk dimakan.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam kenyataan memaklumkan, siasatan di lapangan telah dilakukan berhubung perkara itu melalui Kawalselia Padi dan Beras (KPB) cawangan Temerloh.

Katanya, penemuan itu adalah di tempat pembuangan sampah berhampiran Jalan Pintasan Rumpun Makmur – Gunung Senyum, Kuala Krau.

“Turut hadir ke lokasi adalah pihak Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).

“Berdasarkan penemuan awal, pihak KPB Cawangan Temerloh mendapati bahawa beras-beras tersebut telah rosak dan tidak sesuai serta tidak selamat untuk dimakan.

“Oleh itu, KPKM menasihatkan semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai isu ini memandangkan perkara ini masih dalam siasatan di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras, 1994 [Akta 522],” tegasnya.

KPKM menambah, sebarang aktiviti pelupusan beras hendaklah merujuk kepada Kawalselia Padi dan Beras (KPB), KPKM.

Sehubungan itu, sebarang maklumat lanjut atau aduan berhubung isu berkenaan boleh dikemukakan secara rasmi bersama butiran dan maklumat yang lengkap melalui saluran KPB KPKM di Portal Aduan KPB di https://skpb.kpkm.gov.my/adu
atau E-mel Rasmi : [email protected] Hotline Ibu Pejabat KPB Putrajaya di talian 03-887 01751/1748/1183. – MalaysiaGazette