Tiong King Sing

KUALA LUMPUR – Pembaharuan visa peserta program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) tidak ada kaitan dengan permohonan lesen ejen MM2H kerana ia adalah dua perkara yang berbeza.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, bagi pemegang pas MM2H yang tamat tempoh, mereka boleh berurusan di pusat sehenti kementeriannya untuk tujuan pembaharuan.

“Namun ia berbeza dengan ejen MM2H yang mana perlu mendaftar semula perniagaan masing-masing menerusi saluran disediakan mengikut syarat yang ditetapkan termasuk ejen memiliki lesen tamat tempoh iaitu perlu membuat permohonan semula bagi pendaftaran.

“Kesemua itu perlu melalui proses semakan dan kelulusan akan diberikan sekiranya permohonan dibuat menepati syarat-syarat diperlukan. Ini kerana MOTAC menerima banyak aduan daripada pemohon yang menyertai program MM2H,” katanya dalam hantaran Facebook.

King Sing mengulas isu ejen program MM2H yang tidak dapat memperbaharui lesen perniagaan mereka selepas tamat tempoh pada 31 Mac.

Menurut King Sing, terdapat segelintir ejen yang mengenakan bayaran tinggi sehingga mencecah puluhan ribu ringgit kepada pelanggan mereka namun ia tidak bermakna permohonan mereka dijamin lulus.

Katanya, setiap permohonan perlu melalui proses sama dan kelulusan hanya diberikan jika ia mematuhi syarat yang ditetapkan.

“Jika proses permohonan gagal, maka mereka yang menanggung kerugian dan terkesan adalah pemohon itu sendiri iaitu pelanggan kepada ejen tersebut.

“Ketika proses meluluskan dokumen visa kediaman untuk program MM2H ini, MOTAC berjaya mengesan segelintir ejen yang memajak atau menyewakan lesen kepada pihak lain.

“Saya juga ingin nasihat Presiden Persatuan Perunding MM2H, Anthony Liew supaya tidak mempolitikkan perkara tersebut atau cuba mengelirukan orang ramai dengan tanggapan tidak tepat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast