Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir menikmati makan tengahari bersama rakyat di Gerai Kak Ngah Billion Bandar Teknologi Kajang, sebelum menunaikan Solat Jumaat ketika di Medan selera Bandar Teknologi Kajang, Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 19 APRIL 2024.

KAJANG – Kerajaan bersedia membawa pulang warga Malaysia yang berada di Iran jika konflik antara negara itu dan rejim Zionis semakin buruk.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ketetapan itu akan dimuktamadkan selepas beliau mengadakan perbincangan pada mesyuarat yang diadakan pagi tadi.

“(Pagi) Tadi kita sudah ada mesyuarat, tetapi petang ini kita akan bincang sekali lagi dengan Kementerian Luar.

“Kita akan tengok keadaan, kalau mencemaskan bagi rakyat, kita akan bawa keluar (warga Malaysia di Iran),” katanya selepas selesai solat Jumaat di Masjid Bandar Teknologi Kajang, hari ini.

Menurut Anwar, laporan media antarabangsa berhubung peluru berpandu dipercayai milik Israel mengenai sebuah tapak di Iran meningkatkan ketegangan.

Semalam, agensi media antarabangsa melaporkan, peluru berpandu dipercayai milik Israel mengenai sebuah tapak di Iran.

Letupan itu dilaporkan kedengaran di lapangan terbang di bandar Isfahan tetapi puncanya masih belum dapat dipastikan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap kepada media selepas menunaikan solat jumaat di Masjid Bandar Teknologi Kajang, Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 19 APRIL 2024.

Malaysia jelas Anwar, masih teguh dengan pendirian bahawa tindakan Zionis Israel yang zalim menyerang Pejabat Kedutaan Iran di Damsyik, Syria sebagai melanggar semua peraturan antarabangsa yang ditetapkan.

“Tetapi kalau tengok naratif negara barat hampir sama sekali tidak ada bantahan. Iran gunakan alasan itu untuk serang walaupun keadaan terkawal. Israel menggunakan naratif ini hanya jawapan tindak balas Israel terhadap Iran.

“Pertama, pendirian kita mesti mengutuk serangan terhadap kedutaan. Kedua, kita mahu kedamaian. Ramai terkesan bukan sahaja di Asia Barat, dunia Arab, bahkan seluruh dunia,” katanya. – MalaysiaGazette