Zionis
Ribuan rakyat Malaysia berhimpun bagi menyatakan solidariti terhadap Palestin pada Himpunan 10,000 Solidariti Palestin di luar pekarangan Kedutaan Amerika Syarikat, Kuala Lumpur pada 28 Oktober lalu. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Malaysia melahirkan rasa kecewa terhadap Amerika Syarikat (AS) yang menggunakan kuasa veto bagi menghalang keahlian penuh Palestin dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Wisma Putra berkata, Malaysia bimbang penggunaan veto di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) semalam walaupun terdapat sokongan daripada sebahagian besar negara anggota PBB.

“Pelaksanaan veto ke atas perkara penting dan signifikan ini telah menimbulkan persoalan terhadap keinginan sebenar Ahli Majlis Keselamatan PBB tersebut untuk merealisasikan hak-hak rakyat Palestin.

“Termasuk hak untuk menentukan nasib mereka sendiri ekoran kependudukan haram Israel di Tebing Barat, Gaza dan Baitulmuqaddis Timur sejak 1967,” katanya dalam kenyataan.

Malaysia kekal komited dengan perjuangan rakyat Palestin dan akan meneruskan usaha ke arah penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.

Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa termasuk Majlis Keselamatan PBB untuk terus berusaha ke arah keanggotaan penuh Palestin di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

AS menggunakan kuasa veto bagi menolak usul Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengiktiraf negara Palestin semalam.

Pengundian yang dilakukan dalam sidang UNSC itu secara langsung menafikan Palestin keahlian penuh dalam badan dunia itu. Britain dan Switzerland berkecuali, manakala baki 12 ahli UNSC mengundi ‘ya’.

Palestin pada masa ini adalah negara pemerhati bukan ahli, pengiktirafan de facto kenegaraan yang diberikan oleh UNGA pada 2012.

UNSC sudah sudah lama menyokong visi dua negara yang tinggal bersebelahan berdasarkan sempadan yang selamat dan diiktiraf.

Rakyat Palestin mahukan sebuah negara di Tebing Barat, timur Baitulmaqdis dan Semenanjung Gaza, merangkumi semua wilayah ditawan Israel pada 1967. – MalaysiaGazette