Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Trend jualan bersih oleh pelabur asing di Bursa Malaysia berterusan untuk minggu ketujuh berturut-turut dengan sebanyak RM373.5 juta aliran keluar bersih dana dicatatkan pada minggu lalu.

Aktivis politik, Shahir Adnan berkata, ini merupakan satu keadaan mengerikan untuk ekonomi negara kerana petunjuk jelas pelabur tidak yakin untuk melabur di negara ini dan bakal menyebabkan ekonomi negara terkesan teruk.

Pada masa sama, katanya, rancangan kerajaan Madani untuk memperkenalkan Akaun 3 bagi membolehkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengeluarkan sebahagian caruman bulanan mereka telah menerima pelbagai kritikan daripada rakyat.

“Rancangan ini akan memberi kesan kepada pencarum apabila mereka bersara kelak. Beban ekonomi akan ditanggung oleh rakyat, walhal ini merupakan tanggungjawab kerajaan bagi mengukuhkan ekonomi negara dan matawang ringgit.

“Inflasi yang tinggi bakal ditanggung dengan penggunaan duit KWSP akaun tiga setiap masa.

Tidak mustahil, Akaun 3 ini akan sentiasa “kering” kerana kos sara hidup yang meningkat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Justeru, katanya, kerajan perlu mengkaji semula dengan melihat kembali tujuan sebenar penubuhan KWSP yang ditubuhkan di bawah Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 1991 (Akta 452) iaitu menyediakan faedah persaraan kepada pencarum melalui pengurusan simpanan.

“Ia bukannya satu bentuk simpanan wang yang boleh digunakan sesuka hati, lebih-lebih lagi dalam mendepani cabaran negara menua pada 2030,” tambahnya. – MalaysiaGazette