Polis membawa seorang pengawal keselamatan untuk didakwa atas tuduhan membunuh bayinya yang berusia enam bulan di Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi, Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 19 APRIL 2024.

BANGI – Mahkamah Majistret, di sini, hari ini menetapkan 28 Mei depan bagi sebutan kes pengawal keselamatan yang didakwa membunuh bayinya berusia enam bulan.

Majistret, Nurhidayah Mohd Nawi berkata, sebutan itu bagi menunggu laporan kimia, DNA, toksikologi, post mortem dan laporan forensik tempat kejadian.

Tertuduh, Mohamad Aizat Samin mengaku faham atas pertuduhan yang dibacakan.

“(Saya) faham pertuduhan,” sambil mengangguk kepala.

Tiada tawaran jaminan ditawarkan kepada tertuduh.

Menurut kertas pertuduhan, Mohamad Aizat dituduh membunuh Muhammad Aysar Wildan, iaitu anak kandungnya, pada 14 April lalu di sebuah rumah di Pangsapuri Baiduri, Bandar Tasik Kesuma, Beranang.

Isteri tertuduh yang memakai kemeja petak berwarna merah dilihat mengesat airmatanya sebaik pertuduhan dibacakan.

Tertuduh ditahan pada Ahad lalu untuk membantu siasatan kes kematian bayi itu yang dilaporkan berlaku di rumahnya.

Terduduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette