Rusdi Mohd Isa

KUALA LUMPUR – Polis memburu seorang lagi suspek yang disyaki menyamun lelaki warga asing membabitkan wang tunai RM260,000 di sebuah kediaman di Jalan Tun Razak pada 7 April lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, individu berkenaan adalah suspek ke lapan yang sangat dikehendaki polis dalam kejadian samun itu.

Katanya, suspek yang diburu itu adalah orang awam yang dipercayai boleh membantu siasatan kes samun ini.

“Sebelum ini tujuh individu yang direman termasuk lima pegawai polis sudah direman maksimum dan kini kesemuanya dibebaskan dengan jaminan polis selepas dirakam keterangan daripada mereka sepanjang tempoh reman itu,”katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras hari ini.

Terdahulu, beliau menyempurnakan Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Daerah Cheras baharu antara Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin dan Asisten Komisioner Ravinder Singh Sarban Singh.

Dalam perkembangan berkaitan, katanya polis juga berjaya memperoleh semula wang tunai berjumlah RM142,000 dan RM3,500 (27,000 baht) yang dipercayai disamun daripada mangsa.

“Siasatan kini berada di peringkat untuk membuat keputusan sama ada boleh dituduh atau sebaliknya,” katanya lagi tanpa mengulas lebih lanjut lagi.

Pada 9 April lalu,  lima anggota polis antara tujuh diberkas polis selepas disyaki menyamun lelaki warga asing menyebabkan kerugian RM260,000 di sebuah residen mewah yang terletak di Jalan Tun Razak, ibu negara.

Polis mengesahkan menerima laporan berkaitan kes samun dan menyamar polis membabitkan seorang lelaki warga asing yang mengalami kerugian jam tangan dan wang tunai RM260,000 dilarikan kumpulan samun itu.

Katanya, mangsa bagaimanapun terselamat tanpa sebarang kecederaan dalam kejadian itu.-MalaysiaGazette