Suspek pemandu lori barang penghantar diberkas selepas berpura-pura beli emas untuk isteri dan mengambil rantau emas dari kedai emas di Jalan Dagang, Ampang berjaya ditahan Khamis lalu.Ihsan IPD Ampang Jaya

KUALA LUMPUR – Seorang pemandu lori berpura-pura membeli emas untuk isteri sebelum melarikan seutas rantai dari sebuah kedai emas di Jalan Dagang, Ampang Jaya, di sini, pada 4 April lalu.

Bagaimanapun, Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Nazruel Ekram Abu Saare berkata, bagaimanapun lelaki berusia 30 tahun itu ditahan polis di Jalan Ampang Waterfront, Ampang Jaya pada Khamis lali berikutan laporan yang dilakukan pekerja kedai emas terbabit pada hari kejadian.

Beliau berkata, dalam aduan itu pengadu berusia 32 tahun mendakwa semasa berada di kedai emas terbabit beliau didatangi suspek berusia 20-an untuk melihat rantai leher emas.

Tambah beliau, siasatan mendapati suspek berpura-pura mahu membeli rantai emas untuk isterinya.

“Pengadu telah mengeluarkan tiga utas rantai emas leher dan meletakkan di atas meja kaca untuk dilihat oleh suspek sebelum suspek mengambil salah satu rantai leher dan meletakkannya di riba atas alasan untuk mengambil gambar serta menghubungi isterinya untuk bertanyakan tentang rantai emas itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Nazruel Ekram, suspek kemudian memasukkan rantai emas yang dipegang ke dalam poket sambil berpura-pura memaklumkan kepada jurujual dia mahu ke bank untuk mengeluarkan wang dan akan kembali semula.

Katanya, pengadu yang berasa curiga memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan mendapati suspek telah mengambil seutas rantai emas seberat 22.3 gram berharga RM7,774.

“Bertindak atas laporan pengadu itu, pada 18 April lalu sepasukan polis telah berjaya membuat tangkapan ke atas seorang lelaki berusia 30 tahun yang disyaki melakukan jenayah tersebut di tepi Jalan Ampang Waterfront di Ampang Jaya sekitar jam 2 petang.

“Siasatan lanjut mendapati suspek merupakan pemandu lori sebuah syarikat penghantar barang dan tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau,” ujarnya.

Nazruel Ekram berkata, siasatan mendapati suspek telah menjual rantas emas itu di kedai pajak gadai sebelum polis merampasnya untuk dijadikan barang kes curi.

Beliau berkata, suspek kini direman selama empat hari sehingga Isnin depan untuk membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan mencuri dalam bangunan yang membolehkan dihukum penjara maksimum 10 tahun dan dikenakan denda jika disabitkan kesalahan. – MalaysiaGazette