Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain Foto MOHD ADZLAN, 04 MAC 2024.

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Polis Negara, Tun Mohammed Hanif Omar yang meninggal dunia akibat sakit buah pinggang pada jam 2.15 pagi tadi akan dikebumikan di Makam Pahlawan, Masjid negara, di sini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya sudah mendapat kebenaran daripada Pejabat Perdana Menteri (PMO) untuk mengebumikan allahyarham di Makam Pahlawan.

“Beliau (Tun Hanif) adalah Ketua Polis Negara yang keempat di mana beliau sangat bijak mengurus pasukan Polis Diraja   Malaysia (PDRM) ketika itu.

“Dalam masa sama beliau juga sangat membantu kerajaan yang memerintah ketika itu menjaga ketenteraman negara,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette.

Razarudin dan keluarga mengucapkan salam takziah kepada ahli keluarga Mohammed Hanif.

Allahyarham Mohammed Hanif adalah KPN Ke-4 dan memegang jawatan itu selama 20 tahun iaitu pada 1974 sehingga bersara secara rasmi pada 16 Januari 1994.

Allahyarham dilantik ke jawatan itu pada usia 34 tahun. – MalaysiaGazette