Prabakaran (tiga dari kiri) bersama Penyelaras Parlimen PKR Hulu Selangor Dr Sathia Prakash Nadarajah (dua kiri), ADUN Kota Kemuning Preakas Sampunathan(paling kiri) dan Ahli Majis Perbandaran Hulu Selangor Puvaneswaran (berdiri kanan) bersama jawatankuasa kuil semasa kunjungan ke rumah ibadat di Jalan Pahang, Kuala Kubu Bharu baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Satu mekanisme yang lebih strategik dan menyeluruh sedang dikaji untuk memastikan bantuan dana  Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) sampai kepada semua lapisan masyarakat di seluruh negara.

Selain itu, MITRA juga memberi jaminan memastikan masyarakat India tidak akan tercicir dalam arus pembangunan negara dan sentiasa mengambil langkah proaktif membela nasib komuniti ketiga terbesar negara ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas MITRA, P.Prabakaran berkata, pihaknya sedang terlibat dalam kajian terperinci untuk mencari satu mekanisme strategik dan holistik untuk memastikannya menjadi realiti.

“Kalau kita lihat MITRA yang dahulu diletakkan di bawah Kementerian Perpaduan Negara tapi kini sudah dikembali diletakkan semula di bawah Jabatan Perdana Menteri yang mana ini satu petanda positif kerana ia akan sentiasa berada di bawah perhatian langsung Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Oleh demikian, memandangkan MITRA ada di peringkat Pusat, kita sedang terlibat dalam kajian terperinci untuk mengenal pasti satu mekanisme terbaik dan lebih dinamik untuk membawa MITRA ke negeri-negeri.

“Dalam soal ini, kita sebenarnya mahu memastikan MITRA dibawa ke setiap negeri fungsi dan peranannya sekaligus melibatkan penyertaan wakil rakyat, ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli Majlis serta ketua kampung untuk melicinkan lagi penyaluran dana kepada komuniti kita seluruh negara.

“Jika ia boleh dibuat, maka saya optimis bantuan dana MITRA akan sampai kepada golongan memerlukan peringkat akar umbi secara menyeluruh dan telus secara lebih berkesan,” katanya hari ini.

Beliau terdahulu mengadakan kunjungan ke rumah Ibadat Kovil Sri Siti Vinayagar di Jalan Pahang, Kuala Kubu Bharu bersama Timbalan Setiausaha PKR Pusat, Dr Sathiaprakash Nadarajah merangkap Penyelaras PKR Parlimen Hulu Selangor yang turut disertai Ahli Dewan Undangan Kota Kemuning, Preakas Sampunathan.

Ditanya mengenai tempoh penyediaan kajian mekanisme itu, Ahli Parlimen Batu itu turut menambah kajian itu sedang dilaksanakan.

“Sekiranya segalanya berjalan dengan baik, saya akan mengumumkan hasil kajian mekanisme itu dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas MITRA akan datang apabila bersidang nanti.

Dalam pada itu beliau juga menjelaskan dalam mesyuarat  kelmarin pihaknya telah sebulat suara mencapai keputusan untuk meneruskan tiga inisiatif yang pernah dilaksanakan MITRA sebelum ini.

Katanya, tiga inisiatif itu adalah pemberian subsidi pendidikan awal kepada 168 tadika swasta memanfaatkan 4,500 kanak-kanak dengan pendidikan percuma, pemberian RM2,000 untuk setiap pelajar India meneruskan pengajian peringkat ijazah pertama ke universiti awam dan universiti swasta.

“Inisiatif ketiga yang dipersetujui untuk diteruskan pada tahun ini adalah pemberian subsidi untuk rawatan dialisis secara tahunan.

“Pada tahun lepas, dana subsidi ini telah disalurkan kepada 244 pusat dialisis yang memanfaatkan seramai 1,100 pesakit India.

“Kami mendapati secara keseluruhannya ketiga-tiga inisiatif itu telah berjaya membawa hasil yang kami harapkan dan mencapai objektifnya apabila lebih 15,000 individu dalam komuniti India bermanfaat, maka kita akan teruskan pada tahun ini juga,” katanya lagi.

Pada 7 Februari lalu, Perdana Menteri menerusi kenyataan mengumumkan pelantikan Prabakaran sebagai pengerusi baharu Jawatankuasa Petugas Khas MITRA.

Sebelum itu MITRA diterajui oleh Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk R. Ramanan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast