Gambar hiasan.

SEREMBAN – Mayat seorang lelaki dipercayai mangsa bunuh ditemukan di dalam semak berdekatan pondok bas di tepi jalan KM 10 Jalan Seremban-Port Dickson dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Aidi Sham Mohamed berkata pihaknya menerima laporan daripada orang awam berkaitan penemuan mayat lelaki berusia 41 tahun dalam keadaan terbaring dan lengkap berpakaian itu pada 9.20 pagi.

“Pemeriksaan pada badan mangsa menemukan kesan kecederaan dan disyaki dibunuh menggunakan senjata tajam.

“Pemeriksaan lanjut menemukan sebuah motosikal yang didaftarkan atas nama mangsa, topi keledar, selipar serta seutas jam tangan bersamanya manakala tiada dokumen peribadi milik lelaki itu dijumpai,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Port Dickson hari ini menemukan kesan tetakan pada bahagian tepi leher dan kepala mangsa serta punca kematiannya disebabkan luka kelar di leher.

Aidi Sham berkata kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat ASP Husairin Che Hussin menerusi talian 012-965 4927, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Daerah Port Dickson 06-646 2999 atau mana-mana balai polis berdekatan. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast