HULU SELANGOR – Pengerusi Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan pertemuan empat mata bersama pemimpin utama MCA dan MIC dalam masa terdekat.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia bagi menyelesaikan perselisihan yang timbul susulan keengganan kedua-dua parti itu untuk membantu calon Perpaduan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu.
“Ini akan mempermudahkan Perdana Menteri untuk mencari titik persamaan. Insya-Allah jika ada perbezaan pada hemat saya ia akan dapat diselesaikan dengan paling terbaik.
“MCA, MIC bersatu hati malah Perdana Menteri juga akan mengadakan pertemuan dengan mereka,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Pada Jumaat lalu, Jawatankuasa Pembangunan Politik MCA memutuskan untuk tidak terlibat dalam sebarang aktiviti kempen PRK DUN Kuala Kubu Baharu sekiranya calon dikemukakan bukan daripada Barisan Nasional (BN).
MIC sebelum ini turut membuat keputusan yang sama dengan alasan serupa.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid selaku Presiden UMNO juga sudah mengadakan pertemuan dengan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong untuk menyelesaikan masalah berkenaan.
“Saya telah jumpa dengan Datuk Seri Wee Ka Siong dan saya memahami situasi ketika kenyataan itu dikeluarkan. Saya akan ikhtiarkan jalan yang terbaik (MCA supaya turun berkempen),” katanya.
Beliau berkata, UMNO sentiasa menghormati parti komponen Kerajaan Perpaduan khususnya dari segi pemilihan calon Perpaduan dalam PRK DUN Kuala Kubu Bharu pada 11 Mei ini.
“Kita akan mendokong mana-mana calon atas nama Kerajaan Perpaduan yang akan diumumkan oleh Pengerusi Kerajaan Perpaduan.
“Saya fikir kita harus berada dalam keadaan harmoni politik kerana kita mahu sama ada peringkat negeri atau pusat hendaklah kita selesaikan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette