HULU SELANGOR – Tindakan Gerakan menyatakan hasrat untuk meletakkan calonnya dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu pada 11 Mei ini bukan satu kesalahan.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebaliknya semua komponen berhak memberikan cadangan mengetengahkan calon boleh menang sebelum dimuktamadkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) Isnin ini.
“Itu dia (Gerakan) menyatakan hasrat, tak salah tapi keputusan muktamadnya ialah Majlis Tertinggi PN. Kita akan putuskan dalam mesyuarat kita esok sebelah petang, kita akan bincang calon yang mana sesuai atas dasar kebolehmenangan.
“Kita ramai calon sebenarnya, apa pun bila sudah bincang nanti esok, mana-mana parti yang ada cadangan kita terima,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Terdahulu Muhyiddin hadir ke Rumah Terbuka Aidilfitri Bersatu di Fraser Valley, Kuala Kubu Bharu.
Muhyiddin juga berkata, PN akan mengumumkan calonnya di kerusi DUN Kuala Kubu Bharu dua hari sebelum hari penamaan calon.
“Kita cadang 25 April ini sebelah malam (umum calon PN) tempat nanti Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan tentukan. Bila nama itu lepas (mesyuarat Majlis Tertinggi PN), kita akan bawa nama itu ke pusat penamaan calon,” katanya.
Ditanya tentang kemungkinan PN akan menurunkan calon Melayu susulan 46 peratus pengundi DUN Kuala Kubu Bharu adalah kaum itu, beliau berkata, pihaknya tidak akan mengetepikan sentimen tersebut.
“Bergantung (calon Melayu) mungkin perlu memenuhi sentimen dan perasan, ada yang mencadangkan calon itu mesti orang Melayu tapi itu kena ambil kira.
“Keputusan nanti kita bincang terperinci siapa yang kita fikirkan ada ruang dan peluang untuk menang itu lebih baik tak kira siapa,” katanya.
Muhyiddin tidak menolak kemungkinan untuk memanfaatkan isu kegagalan Kerajaan Perpaduan dalam menangani kos sara hidup, kejatuhan nilai ringgit dan dasar baharu yang membebankan untuk menyantuni pengundi kawasan itu.
“Profil orang sini agak penting untuk kita faham dan dalam situasi sekarang ini sentimen PRK merentasi batas kaum itu jelas dalam soal kegagalan kerajaan.
“Ini kesempatan kerana kita tahu di mana-mana sahaja termasuk kawasan luar bandar ini berdepan tekanan kos sara hidup, harga barang melambung, ringgit jatuh, cukai bertambah, air elektrik semua naik.
“Masalah bebanan besar, kita akan gunakan kesempatan ini untuk menjelaskan (kepada rakyat),” katanya lagi. – MalaysiaGazette