Menteri Pertahanan, Datuk Seri Khaled Nordin melawat Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di Taman Seruling yang mengalami kerosakan dalam lawatan kerja di Kem Erskine, Kuala Kubu Bharu. FOTO WAN NABIL NASIR, 22 APRIL 2024

HULU SELANGOR – Kerajaan peruntuk RM400 juta untuk penyelenggaraan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di 48 kem seluruh negara.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penyelenggaraan melibatkan 28,808 unit rumah itu akan dilaksanakan segera.

Jelasnya, sebanyak RM596,283 daripada jumlah itu disalurkan kepada RKAT Taman Seruling, Kuala Kubu Bharu bagi tujuan penyelenggaraan.

“Mungkin ada pihak tanya adakah ini ada kaitan dengan pilihan raya di sini nanti, ia kebetulan. Semua kem saya lawat untuk tunjukkan kerajaan mengutamakan kebajikan anggota bagi menghargai jasa mereka,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas meninjau keadaan bangunan rumah didiami warga ATM yang bertugas di Kem Erskine di sini dan menetap di RKAT Taman Seruling yang mengalami kerosakan.

RKAT ialah program rumah mampu milik daripada Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) untuk anggota tentera dan keluarga mereka.

“Secara keseluruhannya, pembaikan RKAT Taman Seruling melibatkan 245 unit terdiri daripada 11 rumah pegawai, 28 kuarters pegawai bukan bertauliah dan 206 pangkat lain,” ujarnya.

Hanya 73 rumah dalam keadaan baik, 60 rosak tetapi masih didiami, 59 rosak dan tidak sesuai untuk didiami dan 53 unit telah diluluskan untuk dirobohkan

Penyelenggaran yang akan dilakukan membabitkan bumbung, pendawaian, peralatan elektrik dan cat dalaman di RKAT Taman Seruling dijangka siap dalam tempoh dua bulan bermula Mei ini. – MalaysiaGazette