Kamal Pardi

KUANTAN –  Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) mengesan beberapa majikan yang tidak mematuhi peruntukan perundangan perburuhan dalam operasi bersepadu Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Negeri Pahang di sini.

Ketua Pengarahnya, Kamal Pardi berkata, antaranya kegagalan majikan ialah mematuhi Perintah Gaji Minimum Negara 2011, Akta 800 di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan juga akta di bawah JKKP.

Majikan yang diperiksa termasuklah dari sektor perkilangan, perkhidmatan, peruncitan dan borong serta telekomunikasi.

”Kesemua kesalahan ini akan diambil tindakan selaras perundangan mengikut jabatan dan agensi yang terlibat.

”Selain itu, terdapat juga majikan yang boleh dberikan pujian dan syabas diucapkan atas usaha majikan ini dalam beberapa perkara,” katanya selepas melakukan pemeriksaan ke atas 26 majian di sekitar bandar ini.

Mengulas lanjut, Kamal berkata,  ada syarikat yang diperiksa menggajikan 100% tenaga kerja tempatan dan ini membuktikan keutamaan pekerjaan perlu diberikan kepada warga tempatan terlebih dahulu.

Difahamkan majikan tersebut cukup menjaga kebajikan pekerja memandangkan ada beberapa pekerja yang telah berkhidmat dengan majikan yang sama selama lebih 30 tahun.

Operasi bersepadu dijalankan di daerah ini dilakukan selama dua hari bermula hari ini sehingga esok mensasarkan lebih 60 majikan.

Pelaksanaan operasi bersepadu ini melibatkan jabatan dan agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia.

Ia turut disertai oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Perkeso, Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia  (HRD Corp).

Menurutnya, sejak Januari sehingga Mac 2024, sebanyak 240 operasi telah dilaksanakan dengan melibatkan 240 majikan seluruh negara.

Operasi tersebut mencatatkan sebanyak 370 kertas dibuka dan daripada jumlah ini, sebanyak 77 kertas dikenakan pendakwaan dengan nilai denda RM1,000.

Manakala sebanyak 35 daripadanya telah dikenakan kompaun dengan tawaran kompaun bernilai RM425,000.

Pada tahun 2023, sejumlah 444 operasi dilaksanakan  melibatkan 444 majikan pelbagai sektor di seluruh negara dengan jumlah 1,701 kertas siasatan yang dibuka.

Hasil daripada itu juga, sebanyak 421 daripadanya  telah dikenakan tindakan pendakwaan dan denda berjumlah RM504,836.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast