Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Perasmian Sidang Kemuncak KL20 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Foto MOHD ADZLAN, 22 APRIL 2024.

KUALA LUMPUR – Khazanah Nasional Berhad akan melancarkan ‘National Fund-of Funds’ dengan peruntukan awal sebanyak RM1 bilion untuk melabur dalam syarikat pemula Malaysia yang inovatif dan memiliku pertumbuhan tinggi, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim .

Perdana Menteri berkata, syarikat pelaburan kerajaan itu juga akan melabur sehingga RM3 bilion dalam ekosistem Asia Tenggara dan Malaysia di bawah Inisiatif Pelaburan ASEAN sebagai usaha kerajaan menyasarkan untuk memusatkan agensi pelaburan seperti Malaysia Venture Capital Management Bhd (MAVCAP) dan Penjana Kapital.

“Ini menggariskan komitmen kerajaan untuk membantu syarikat Malaysia membabitkan usahawan Bumiputera, syarikat baharu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk terus meningkat dalam Belanjawan Malaysia Madani 2024 pada Oktober lalu.

“Firma modal teroka pula akn menubuhkan pejabat dan dana baharu di Kuala Lumpur di mana 12 firma yang diumumkan hari ini adalah firma antarabangsa yang canggih dengan saiz pengurusan berbilion dan memiliki rekod prestasi pelaburan yang cemerlang supaya syarikat permulaan Malaysia yang baik akan dihasilkan dan dipupuk untuk berjaya di peringkat global,” katanya pada majlis pelancaran Sidang Kemuncak KL20 2024 di sini, hari ini.

Majlis itu turut dihadir, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, pelabur antarabangsa telah menyedari kini  adalah masa yang tepat untuk melabur di Malaysia.

Ia berdasarkan faktor kerajaan yang stabil dan tadbir urus yang baik, legasi pro-perdagangan dan pendirian neutral sekali gus memenuhi permintaan rakan dagangan yang berdepan masa berpolarisasi.

“Pengumuman hari ini datang daripada pencapaian luar biasa tahun lepas – pelaburan asing yang diluluskan berjumlah RM188 bilion (yang datang) dari setiap bahagian dunia.

“Pelaburan ini juga telah mencerminkan pergerakan dalam aktiviti rantai nilai yang lebih tinggi kerana dunia menunjukkan keyakinan terhadap kemampuan tenaga kerja kita,” katanya.

Sementara itu, Sidang Kemuncak KL20 2024 bakal menjadi platform yang mengukuhkan kedudukan negara dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E), terutamanya melibatkan inovasi, penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Dianjurkan oleh Kementerian Ekonomi Malaysia, acara berkenaan menghimpunkan syarikat pemula, pelabur dan pe­mimpin industri untuk memupuk inovasi, kerjasama dan pertumbuhan ekosistem syarikat pemula di Malaysia. – MalaysiaGazette