Anggota bomba membawa keluar mayat lelaki yang lemas di sungai dekat Kem Lolo.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki tempatan yang dilaporkan hilang selepas terjatuh dalam sungai di Kem Lolo, di Gunung Nuang, Kampung Pangsun, Hulu Langat malam Ahad ditemui meninggal dunia.

Menurut Komander Operasi Bomba dan Penyelamat di lokasi PgKB1 Shahrin Yusmar Mat Yusof berkata, mangsa telah dijumpai oleh pasukan Mencari dan Menyelamat (SAR) pada jam lebih kurang 1 petang tadi.

“Mangsa telah dijumpai kira-kira empat kilometer dari tempat asal dia terjatuh di sungai tersebut dan telah disahkan meninggal dunia di lokasi,” katanya dalam kenyataan sebentar tadi.

Operasi SAR turut disertai PpgB Zafiruddin Mohd Nasir (Ketua Balai) dan juga PPgB Mohamad Akmal Mohd Khairi.

Terdahulu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pasukan bomba telah memulakan gerakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada jam 8.11 malam tadi.

“Misi SAR kemudian disambung semula sejak jam 10.15 pagi tadi (Isnin) turut melibatkan malim gunung, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pejabat Renjer Hutan dan Jabatan Perhutanan Selangor,” katanya.

Tambah beliau, sebanyak dua pasukan terlibat dalam SAR terbabit yang mana pasukan pertama melakukan pencarian bermula dari Kem Lolo sehingga ‘campsite 1’ ( mengikut aliran sungai).- MalaysiaGazette