TEMERLOH – Stadium Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) mampu memuatkan seramai 9,283 penonton bagi Liga Super FC musim ini yang akan bermula pada 3 Mei ini.
Venue utama tersebut akan mengumpul penyokong Skuad Tok Gajah merupakan lokasi pemilihan terbaik selepas Stadium Darul Makmur (SDM) yang ditutup bagi proses penyelenggaraan.
Yang Dipertua MPT, Suris Mihat berkata, sejumlah RM150,000 diperuntuk untuk menaik taraf stadium itu yang akan menjadi gelanggang rasmi Sri Pahang musim ini.
”Daripada kapasiti 9,283 penonton, 2,384 daripadanya adalah tempat duduk di grandstand manakala baki 6,899 lagi ruang penonton membabitkan Zon A, B, C dan D,” katanya dalam kenyataan.
Justeru Suris berharap jumlah berkenaan dapat memberi keselesaan kepada penonton.
Tambahnya, tahap pencahayaan lampu limpah juga mencapai 100 peratus seperti yang ditetapkan oleh Liga Bolasepak Malaysia.
Selain itu, persiapan bilik video bantuan pengadil (VAR) dan bilik produksi sudah mencapai 90 peratus serta padang pula berada pada tahap 85 peratus.
Pada 11 Mei nanti penonton bakal menyaksikan aksi pembukaan pasukan Sri Pahang FC akan berdepan Kelantan Darul Naim FC di stadium itu.
Dalam pada itu. SDM bakal berwajah baru dengan rumput jenis Bermuda selain penambahbaikan daripada aspek sistem saliran perparitan dan menambah baik sistem pencahayaan dengan lebih baik.
Difahamkan mengikut perancangan, SDM yang berusia setengah abad itu akan ditutup kira-kira enam bulan bagi menaik taraf rumput padang bermula Mei atau Jun depan.
Maka Stadium MPT menjadi pilihan buat skuad kendalian Ketua Jurulatih Pahang, Fandi Ahmad beraksi selaku gelanggang tuan rumah sebagai alternatif menggantikan lokasi SDM. – MalaysiaGazette