PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) hari ini mendedahkan ada syarikat dan stesen minyak yang menerima ugutan daripada sindiket
tertentu.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, semua itu berlaku sekiranya mereka tidak dibenar menjual diesel kepada kenderaan yang dilihat kerap kali berulang mengisi diesel.
Katanya, apa yang berlaku itu telah melibatkan isu keselamatan dan KPDN turut mendapatkan kerjasama daripada pihak polis berhubung perkara itu.
“Saya ingin menyebutkan hari ini, memang kita melaksanakan penguatkuasaan yang agresif tetapi kita perlu memastikan wujudnya ekosistem yang kondusif.
“Antaranya menguruskan risiko isu penyeludupan dan penyasaran subsidi ini untuk mengurus risiko ketirisan terbabit.
“Ada syarikat minyak, stesen minyak, sampai ke tahap mereka diugut sindiket tertentu…sebab itu kita mahu menghalang perkara ini terus menjadi sistemik, kaedah penyeludupan terancang.
“Jadi, kita tengah kumpul maklumat, termasuk kerjasama dengan polis dan syarikat minyak,” katanya pada sidang medua selepas mengadakan libat urus bersama industri pengangkutan dan syraikat pembekal minyak di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Armizan berkata, modus operandi yang digunakan oleh sindiket terbabit amat kemas kerana ada yang membuat ugutan datang bersama gengster, samseng dan sebagainya.
“Sebab itu kita urus risiko itu, selain penguatkuasaan fizikal, kita urus risiko penyeludupan ini dengan tidak memberikan subsidi secara pukal di stesen minyak,” tambahnya.
Dalam pada itu Armizan berkata, ada juga beberapa stesen minyak memilih untuk tidak membuat laporan kerana bimbangkan keselamatan diri, pekerja dan premis mereka.
Tegasnya, perkara itu tidak boleh dibiarkan terus berlaku dan aspek pengurusan risiko sedang dilakanakan pihaknya melalui penyasaran subsidi.
“Dari segi tanggungjawab syarikat stesen minyak itu, mereka akan bebas daripada risiko untuk menghalang sindiket tertentu yang membeli diesel ini pada kadar subsidi untuk dijual kepada industri dan penyeludupan ke luar sempadan.
“Jadi, saya fikir ini amat serius dan perlu kita tangani…aduan yang kita terima pelbagai, ada yang menulis surat kepada saya, KPDN, polis dan syarikat pembekal minyak,” ujarnya. – MalaysiaGazette